News

Bestinet Sumbang Alat Makmal Komputer

TELUK INTAN: Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) menyumbang tiga komputer, dua mesin pencetak dan sebuah mesin projektor untuk makmal komputer Sekolah Kebangsaan (SK) Selabak, di sini.

Aktiviti tanggungjawab sosial korporat Bestinet itu khusus buat masyarakat dalam memajukan bidang IT selari dengan nilai mereka untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran hidup.

Ia juga sebagai sokongan kepada usaha memperkasakan penggunaan teknologi maklumat (IT) dalam pengajaran dan pembelajaran. Sumbangan itu disampaikan kepada Guru Besar SK Selabak, Normah Asran.

Ketua Pegawai Operasi Bestinet, Noremi Md Shaari, berkata ia sebagai usaha menyokong guru dan murid SK Selabak menggunakan IT dalam pembelajaran di sekolah, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran berteraskan teknologi bagi menggalakkan pemikiran lebih kreatif.

Bantu guru, murid

Katanya, sumbangan ini diharapkan membantu guru dan murid menjalani aktiviti pengajaran serta pembelajaran lebih berkesan dan dapat melancarkan proses pembelajaran di sekolah berkenaan.

“Usaha ini juga menyahut seruan kerajaan menggunakan teknologi dan internet dalam mewujudkan pembelajaran cemerlang.

“Diharapkan murid dapat meningkatkan keupayaan penguasaan ilmu pengetahuan dan memupuk minat serta cintakan ilmu pengetahuan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) bagi merapatkan jurang digital antara kawasan pedalaman dan bandar.

“Kita ada perancangan mengam-bil dua atau tiga sekolah untuk dijadikan sekolah angkat dan akan menjalankan aktiviti seperti pembelajaran IT percuma pada hujung minggu, kelas komputer percuma pada hujung minggu serta mendedahkan teknologi dan industri IT kepada generasi muda,” katanya.

Perlukan peralatan

Sementara itu, Normah berkata, pihaknya bersyukur dengan sumbangan itu berikutan sekolah dan murid memang memerlukannya untuk kegunaan di makmal komputer dan pusat sumber.

“Saya mewakili warga SK Selabak, murid dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bestinet atas sumbangan ini untuk kegunaan murid dan juga warga sekolah kerana memang memerlukan kemudahan ini,” katanya.

“Sebelum ini projektor lama sudah rosak dan dengan adanya kemudahan ini banyak lagi aktiviti pembelajaran untuk murid boleh dilakukan selepas ini.

“Sumbangan ini juga menunjukkan jaringan kerjasama dengan pihak luar yang turut membantu kecemerlangan murid selaras dengan pengetahuan ICT yang sangat penting selain dapat meringankan beban sekolah,” katanya.

Source : Berita Harian Online, November 30, 2018