News

Usaha Gigih Shukri Buahkan Kejayaan

KUALA LUMPUR: Seorang ketua yang bijak dalam menjalin kerjasama dengan warga kerjanya mampu membawa kecemerlangan bukan sahaja dalam kerjayanya, tetapi turut memberi kejayaan kepada organisasinya.

Bagi memastikan kejayaan dapat dicapai, Ketua Pegawai Teknikal Bestinet Sdn Bhd, Shukri Mutalib mengamalkan prinsip kerjasama dan kerja keras dalam memimpin pasukan teknikal seramai lebih 80 orang di syarikat yang beroperasi di Cyberjaya.

Beliau yang kematian ayah pada usia setahun, bertekad untuk memberikan kehidupan yang terbaik untuk keluarga dan kini anak didiknya di Bestinet.

“Saya berpegang kepada prinsip hidup buat yang terbaik dalam apa juga yang dilakukan dan jangan membatasi kemampuan diri.

“Kadang-kadang kita tidak menyedari potensi diri sehingga orang lain membantu kita,” katanya yang membantu ibunya berniaga nasi lemak dan kuih sejak di sekolah rendah.

Tak kenal penat lelah

Berpegang kepada prinsip ‘Kejayaan adalah hasil usaha dan lebih berkat untuk dikongsi bersama’, anak bongsu daripada tiga beradik ini tidak mengenal erti penat lelah dan menggalas tanggungjawab yang besar.

Katanya, titik perubahan pada dirinya bermula apabila berjumpa dengan pengasas yang juga Pengerusi syarikat tempatnya berkhidmat kini, Datuk Seri Mohd Amin Abdul Nor.

“Beliau berpesan kalau kita sedang berbuat baik sekarang, akan memperoleh kecukupan tetapi semuanya dalam keluarga.

“Katanya, tidakkah anda terfikir bahawa anda perlu mendapatkan lebih banyak untuk berkongsi dengan saudara sendiri dan orang lain untuk kehidupan yang lebih bermakna?

“Katanya, jika berbuat baik dan mampu menyokong keluarga, saudara dan orang lain, tidakkah berfikir bahawa anda perlu mendapat lebih banyak untuk berkongsi dengan komuniti.

“Atas dorongan inilah, saya meninggalkan tempat kerja lama selepas 11 tahun bersama untuk berhijrah ke Bestinet,” katanya.

Selain pengalaman, kata Shukri, seseorang itu akan lebih dihargai dan dinilai melalui pengiktirafan yang mereka ada dan ia membawa nilai bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga kepada syarikat tempat berkhidmat.

Katanya, dia berusaha untuk mendapatkan seberapa banyak pensijilan untuk pengiktirafan dalam kerjayanya.

Source : Berita Harian Online