News

PLATFORM FWCMS BERJAYA SEKAT KEGIATAN KARTEL PEKERJA ASING – PENGANALISIS

SEREMBAN – Platform Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang dibangunkan Bestinet Sdn Bhd dilihat berjaya menyekat kegiatan kartel pekerja asing daripada terus berleluasa di negara ini.

Pensyarah Kanan (Ekonomi), Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Nurul Ainun Ahmad Atory berkata, kewujudan FWCMS penting dalam mengurangkan ruang eksploitasi dan salah guna dalam proses pengambilan pekerja asing.

Menurut beliau, tanpa peralihan daripada proses manual di kaunter kepada platform digital berpusat, kegiatan kartel pekerja asing berkemungkinan lebih sukar dibendung berikutan wujudnya ruang untuk campur tangan pihak ketiga dan orang tengah.

Beliau berkata, sistem digital berpusat berpotensi mengurangkan kos transaksi, mempercepatkan proses permohonan serta meningkatkan ketelusan menerusi rekod digital dan jejak audit yang lebih sistematik.

“Dalam ekonomi institusi, mekanisme ini dapat mengurangkan masalah asimetri maklumat, sekali gus mengecilkan ruang untuk aktiviti rent-seeking, penyalahgunaan kuasa dan penglibatan orang tengah yang tidak memberikan nilai tambah kepada ekonomi,” katanya hari ini.

Sebelum ini, portal Malaysiakini melaporkan kegiatan kartel pekerja asing yang didakwa terus beroperasi di sebalik tabir bagi mengaut keuntungan jutaan ringgit selain mengubah modus operandi bagi meneruskan kegiatan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Mikro Malaysia (MAMBA), Tan Peng Beng sebelum ini berkata, tindakan mempolitikkan FWCMS berisiko menjejaskan kemajuan

yang telah dicapai dalam memperkukuh tadbir urus, kecekapan dan ketelusan pengurusan pengambilan pekerja asing di Malaysia.

Dalam pada itu, Nurul Ainun berkata, keberkesanan sesuatu sistem digital tidak boleh dinilai hanya berdasarkan kewujudannya, sebaliknya perlu disokong data empirikal dan penguatkuasaan secara berterusan.

Katanya, penilaian perlu dibuat berdasarkan indikator jelas termasuk pengurangan kos pengambilan pekerja asing, tempoh pemprosesan lebih singkat, peningkatan kadar pematuhan majikan, pengurangan kes penipuan serta peningkatan hasil kerajaan.

“Sekiranya objektif-objektif ini berjaya dicapai secara konsisten, sistem seperti FWCMS bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan ekonomi, malah turut memperkukuh keyakinan pelabur terhadap ekosistem perniagaan Malaysia melalui tadbir urus yang lebih telus, cekap dan berintegriti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

News Source: MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/2026/07/24/platform-fwcms-berjaya-sekat-kegiatan-kartel-pekerja-asing-penganalisis/