Bestinet Raih Pengiktirafan BrandLaureate

Bestinet Rai Anak Yatim

KUALA LUMPUR : Bestinet Sdn Bhd (Bestinet), syarikat yang membangunkan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Berpusat (FWCMS), meraih anugerah berprestij pada majlis Anugerah Brandlaureate Bestbrands 2017-2018 bagi kategori BrandLaureate Signature Brand dalam teknologi maklumat, baru-baru ini.

Anugerah Best Brand itu merujuk kepada projek digital FWCMS yang juga dikenali sebagai MIGRAMS (FWCMS/MIGRAM) iaitu sistem holistik dalam talian sepenuhnya yang direka bentuk membantu pengguna dan pihak berkepentingan dalam proses pematuhan dan pengawal seliaan berkaitan dengan pekerja asing.

Proses itu menjurus kepada pemilihan, pengambilan, pengurusan berkala, pemantauan serta memastikan pekerja pulang dengan selamat.

Penyelidikan dan pembangunan MIGRAMS membabitkan cabaran dan dalam tempoh panjang bagi membangunkan penyelesaian berpusat dengan kerjasama lebih dari 13 negara serta pihak berkuasa.

MIGRAMS lancar operasi

Pelaksanaan MIGRAMS bertujuan melancarkan operasi negara sumber bagi pekerja asing termasuk majikan, pekerja, penyedia insurans dan sebagainya dengan lebih efisien dan efektif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mohd Noor, berkata anugerah BrandLaureate Bestbrand adalah anugerah ketiga diterima syarikat itu tahun ini dan ia adalah penghargaan kepada syarikat dalam inovasi digital.

“FWCMS/MIGRAMS adalah sistem menyoroti empat komponen utama iaitu keselamatan, kesihatan, kebajikan dan pematuhan dalam sistem pengurusan tunggal bersatu, memberi manfaat kepada semua pemegang berkepentingan.”

“Kami yakin syarikat kini berada tahap kukuh menjadi pembekal perkhidmatan teknologi maklumat terbaik di Malaysia dan pada peringkat global,” katanya.

Jenama lambang prestij

Malam anugerah berprestij itu turut dihadiri 800 tetamu termasuk tokoh korporat, pemilik jenama dan personaliti terkemuka.

Sementara itu Presiden The BrandLaureate, Dr KK Johan yang turut meraikan kejayaan itu berpendapat jenama adalah lambang prestij dan penghormatan yang mempunyai potensi untuk mempengaruhi industri sekali gus memberi impak kepada komuniti.

“Semua penerima Anugerah BrandLaureate Bestbrands dipilih dengan teliti oleh jawatankuasa pemilihan. Setiap pemenang menunjukkan pencapaian luar biasa dalam penjenamaan, produk dan personaliti cemerlang menerusi industri masing-masing,” katanya.


Oleh Siti Nurazlinee Azmi,
Berita Harian Online
Source