Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya

Bestinet Rai Anak Yatim

Jangan mengharapkan sesuatu yang baik di masa hadapan tanpa usaha dan kerja keras. Itu antara nasihat bapa kemerdekaan India, Mahatma Gandhi yang menjadi penyuntik semangat dan menjadi pegangan Ketua Pegawai Eksekutif Bestinet Sdn Bhd (Bestinet), Ismail Mohd Noor.

Mengorak langkah di arena perniagaan dengan melaksanakan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) diikuti Sistem Pengurusan Migran (MiGRAMS) seawal 2008, Ismail, 48, akui pelbagai cabaran dan dugaan yang dilalui dalam usaha meraih kejayaan.

Anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan pada 10 September 1970 ini berkata, kehidupan di zaman remaja mengajarnya penat lelah dan kerja keras untuk menjadi yang terbaik di masa hadapan.

“Saya anak sulung daripada tiga beradik yang mempunyai beza usia empat dan lapan tahun. Ibu bapa saya berniaga sepenuh masa di kafeteria Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor.”

“Saya dididik supaya menjadi contoh yang baik kepada adik-adik dan ini bukanlah sesuatu yang mudah dan saya sentiasa berusaha melakukan kerja dan tanggungjawab sebaik mungkin serta mencari inisiatif terbaik untuk melaksanakannya supaya menjadi contoh kepada adik-adik,” katanya.

Mesra disapa Mail, dia seorang yang tegas tetapi waktu sama suka berseloroh.

Katanya, dia menjadikan ayah dan bapa saudaranya sebagai idola untuk menjadi pemimpin yang berkaliber dan berkarisma.

“Bukan mudah jalan yang saya lalui hingga sampai ke tahap ini. Saya berdepan dengan pelbagai cabaran dan lalui banyak episod kegagalan.”

“Satu pengajaran yang saya pegang sehingga kini, sentiasa fokus dan tidak terganggu dalam mencapai setiap matlamat dihajati,” katanya.

Mendapat pendidikan di University of East London dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ismail berkata, dia pernah menceburi perniagaan teknologi maklumat (IT) bersama rakan tetapi gagal kerana hilang tumpuan dan tiada visi yang kukuh untuk dijadikan landasan untuk berjaya.

Katanya, kegagalan itu digunakan sebagai cabaran dan keazaman untuk memastikan sejarah tidak berulang sekali gus lebih fokus untuk mencapai kejayaan.

“Sebelum menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Bestinet, saya bermula sebagai Pengurus Projek seterusnya Ketua Pegawai Operasi selepas membuktikan kebolehan dalam bidang pengurusan dan operasi.”

“Kini Bestinet mencipta nama dan mendapat kepercayaan daripada kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam FWCMS dan MiGRAMS,” katanya.

Mengenai visinya untuk Bestinet, kata Ismail, dia mahu membawa syarikat itu bukan sahaja sebagai pembekal perkhidmatan teknologi maklumat di Malaysia tapi juga ke pentas dunia.

“Saya yakin kejayaan ini akan dicapai dengan sukses bersama pasukan Bestinet yang kompeten dan bersedia menerima cabaran,” katanya.

Bagi remaja dan graduan yang baru memasuki alam pekerjaan, Ismail berpesan supaya sentiasa berusaha keras dan cekal untuk mencapai kejayaan yang diingini untuk kepentingan dan keselesaan di masa hadapan.


HM Digital
Source