Bestinet Bukan Agensi Pengambilan Pekerja Asing

KETUA Pegawai Eksekutif Bestinet , Ismail Mohamad Noor. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Bestinet Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), iaitu platform untuk mendaftarkan pekerja asing di Malaysia menegaskan ia hanya penyedia sistem penyelesaian berpusat dan bukan agensi pengambilan pekerja asing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mohd Noor, berkata FWCMS adalah platform yang berkesan dan cekap untuk negara sumber dan majikan di Malaysia mendaftarkan pekerja asing bermula dari awal proses hingga ke peringkat akhir.

“FWCMS adalah sistem dalam talian yang digunakan oleh semua negara sumber dan majikan tempatan untuk mendaftarkan pekerja asing yang akan bekerja di negara ini.”

“Menerusi sistem bersepadu ini, ia dapat mengenalpasti mana-mana calon atau pemohon yang disenarai hitam atau mempunyai latar belakang kesihatan yang mencurigakan. Ini bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak sahaja dapat bekerja di negara ini.”

“Jika dahulu majikan perlu menunggu sehingga tiga ke enam bulan, dengan adanya sistem ini, majikan dapat menerima pekerja asing dalam bulan yang sama selepas memohon,” katanya dalam taklimat media, baru-baru ini.

Minggu lalu, FWCMS menerima anugerah sebagai antara 40 projek digital terbaik di dunia pada Anugerah Kemuncak Dunia 2018 di Austria, yang diiktiraf dalam memenuhi matlamat pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dipilih daripada 400 penyertaan daripada 180 negara termasuk Austria, Georgia , India dan Portugal.

“FWCMS adalah penyedia penyelesaian IT, kami bukan agensi pengambilan (pekerja asing),” katanya.

Ditubuhkan pada 2008, Ismail berkata Bestinet adalah sebuah organisasi teknologi maklumat (IT) yang memberi tumpuan kepada penyampaian penyelesaian teknologi, aplikasi dan infrastruktur rentas sempadan yang komprehensif kepada pelanggan sektor awam dan swasta.

Ketika ditanya adakah syarikat itu dibiayai oleh mana-mana ahli politik, beliau menegaskan, syarikat itu dibiayai oleh pihak swasta dan tidak terbabit langsung dengan mana-mana ahli atau parti politik.

“Tidak ada mana-mana ahli politik yang membiayai Bestinet. Semuanya adalah pembiayaan swasta dan apa yang saya boleh katakan adalah Bestinet tidak dikaitkan dengan mana-mana ahli politik,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar The Star baru-baru ini yang menyatakan seorang ahli perniagaan Bangladesh bergelar Datuk Seri didakwa menjana RM2 bilion dalam tempoh dua tahun apabila bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menjalankan sindiket membekalkan tenaga buruh dari Bangladesh.

Laporan itu menyatakan FWCMS yang dikendalikan oleh Bestinet mengenakan bayaran RM305 untuk setiap pekerja asing yang berjaya direkrut.

Ismail menegaskan Bestinet hanya mengenakan bayaran RM100 dan bukannya RM305 seperti didakwa kepada 12 negara sumber dalam sistemnya bagi proses pengambilan pekerja asing.

“Sistem yang kami kendalikan ini tidak mendapat keuntungan yang banyak seperti didakwa. Kami hanya membantu kerajaan memudahkan kerja,” katanya.

Beliau berkata , ketika ini FWCMS digunakan serentak dengan sistem MyIMMS yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen.

“FWCMS membekalkan maklumat mengenai pekerja asing manakala sistem MyIMMS Jabatan Imigresen adalah platform yang meluluskan atau menolak permohonan,” katanya.

Mengulas mengenai rancangan jangka panjang syarikat, Ismail berkata, pihaknya yakin dapat menembusi pasaran global terutama negara rantau Asia Pasifik yang berdepan masalah sama seperti Malaysia.


Oleh Nora Mahpar, BH Online
Source